Mohd Alwi (dua, kanan) bersama anugerah dan wang yang dimenanginya sebagai Tokoh Koperasi Negeri Selangor.

RAWANG: Sentiasa konsisten, istiqamah dan sentiasa memegang pada janji antara tiga perkara yang dipegang oleh Pengerusi Koperasi Felda Bukit Cherakah Selangor Berhad, Mohd Alwi Daud.

Beliau dinobatkan sebagai Tokoh Koperasi Negeri Selangor dan membawa pulang wang sebanyak RM5,000 sempena sambutan Hari Koperasi Negara 2017 bertempat di Puteri Central Park Bandar Tasik Puteri, semalam.

Mohd Alwi berkata, beliau tidak pernah berharap akan menerima apa-apa anugerah sepanjang berkecimpung dalam bidang koperasi sejak 25 tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak sembilan koperasi telah ditubuhkan sepanjang tempoh itu antaranya koperasi keluarga, wanita, peladang, kariah masjid dan generasi.

“Saya akan bimbing dan bantu pengurusan koperasi sejurus ditubuhkan bagi memastikannya beroperasi dengan lancar dan memberikan manfaat kepada ahli-ahlinya,” katanya.

Tiga koperasi turut dianugerahkan sebagai Koperasi Terbaik Selangor iaitu Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad, Koperasi Kakitangan Bernas Berhad dan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia Berhad.

Sementara itu, Pengetua SMK Gombak Setia, Norlilah Ismail berkata, sekolahnya antara yang disenarai sebagai koperasi terbaik peringkat daerah dan negeri serta kebangsaan.

“Pencapaian ini adalah atas kegigihan dan kerja keras guru serta pelajar yang banyak membantu dan memberikan sokongan,” katanya.

Tambahnya, pada masa akan datang koperasi sekolahnya bercadang untuk memperkenalkan produk sejuk beku pula.

Program Hari Koperasi Peringkat Negeri Selangor telah berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin dan tamat hari ini.

Perasmian majlis semalam telah disempurnakan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh.

Majlis perasmian semalam turut menyaksikan penyerahan memorandum persefahaman antara Koperasi Pelaburan Pekerja Proton Berhad dengan empat koperasi daripada Jabatan Penjara Malaysia, Kakitangan Bernas, Universiti Putra Malaysia dan Pegawai-Pegawai Mardi. – Karangkraaf