DATUK NORDIN SALLEH (kiri) diringi Che Ibrahim Che Ismal (dua kiri) ketika melawat Kafe Konsortium semasa pelancaran Koperasi Konsortium E-Mutiara Kelantan Berhad di Panji Kota Bharu.

SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) bercadang menggabungkan semua koperasi di negara ini supaya dapat memainkan peranan lebih besar dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

Pengerusi Eksekutifnya Datuk Nordin Salleh berkata, langkah itu dapat memperkasakan koperasi sekali gus bersaing dengan sektor korporat lain.

“Koperasi sudah wujud di negara ini hampir 100 tahun, tapi peranan dan sumbangannya terhadap ekonomi negara, orang tidak nampak.

“Kita nak gabungkan koperasi (mengikut sektor) di negara ini supaya dapat tambah kapasitinya. Apabila bergabung, kita dapat jalankan perniagaan dengan skala lebih besar selain dapat bersaing dengan sektor korporat yang kuasai ekonomi negara.

“Jadi, saya bawa strategi untuk menggabungkan lebih 14,000 koperasi di negara ini yang ada keahlian lebih 6.5 juta dengan perolehan mencecah RM42 bilion serta memiliki aset RM139.6 bilion. Kita nak perkasa dan gabungkan koperasi ini supaya ia dapat memainkan peranannya sebagai satu daripada penyumbang ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kedai Runcit (Mini Mart 55) dan Kafe milik Koperasi Konsortium E-Mutiara Kelantan Berhad (KEMKB) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi KEMKB, Che Ibrahim Che Ismail.

Beliau berkata, sebagai permulaan, pihaknya menubuhkan kelab untuk mewujudkan persefahaman dalam kalangan koperasi sebelum penggabungan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Kami akui untuk buat perubahan dengan penggabungan ini adalah sukar, jadi kami wujudkan kelab supaya koperasi ini dapat duduk bersama dan mewujudkan chemistry.

“Apabila tiba masa untuk bergabung, kita harap mereka bersedia dengan menganggap rakan mereka ini yang dulu sebagai pesaing menjadi saing (kawan) dengan matlamat sama,” katanya. – HM