KUALA LUMPUR 3 April – Statistik Gerakan Koperasi di Sarawak sehingga 31 Disember tahun lepas menunjukkan terdapat 1,054 koperasi berdaftar dengan syer dan yuran berjumlah RM186 juta dengan jumlah aset sebanyak RM582 juta serta perolehan perniagaan melebihi RM262 juta di negeri itu.

Kejayaan itu adalah hasil usaha berterusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam melonjakkan sektor koperasi di Sarawak termasuk menerusi pelaksanaan Program Kedai Harga Patut (KHP).

Unit Hal Ehwal Antarabangsa dan Komunikasi Korporat SKM dalam satu kenyataan memberitahu, sehingga kini sebanyak 30 buah KHP melibatkan koperasi telah ditubuhkan di Malaysia dengan tiga daripadanya merupakan koperasi di Sarawak.

“Sebanyak RM11 juta telah diluluskan kepada koperasi di Sarawak melalui kemudahan pinjaman Tabung Modal Pusingan (TMP) dan RM500 ribu dalam bentuk geran bantuan.

“Menerusi jaringan ini, koperasi boleh menjadi platform untuk pengedaran barangan keperluan kepada pengguna dan pada masa sama dapat mengurangkan harga barangan melalui pembelian secara pukal,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, usaha bagi memantapkan perniagaan atau perusahaan yang diceburi oleh koperasi diteruskan menerusi khidmat nasihat, seminar dan bengkel keusahawanan, pemasaran.

“Hal ini bagi membantu koperasi meningkatkan pendapatan selaras dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat ke arah yang lebih baik demi masa depan kita semua.

“Program SKM bersama komuniti merupakan salah satu pendekatan baharu untuk mendekati masyarakat. Melalui program ini, SKM akan bekerjasama dengan koperasi bagi menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan selaras dengan prinsip ketujuh koperasi iaitu prihatin kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE