Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof (tengah) merasmikan gimik perasmian Tube 6.0 di SME Corp.

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk melatih 500 belia, termasuk Orang Asli bagi memulakan perniagaan menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 6.0 tahun ini.

Ketua Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Noor Azmi Mat Said, berkata TUBE 6.0 menampilkan kelainan kerana turut membabitkan penyertaan Orang Asli buat kali pertama bagi membantu mereka menceburi perniagaan untuk meningkatkan taraf hidup.

Katanya, sebanyak 50 tempat akan dikhususkan kepada golongan berkenaan selain tempat untuk orang kurang upaya (OKU) yang jumlah penyertaannya ditingkatkan pada TUBE 6.0 selepas melihat kejayaan sebelum ini.

“Setiap peserta dipilih akan menerima dana RM15,000 bagi memulakan perniagaan dan jumlah itu dirasakan memadai, selain itu mereka juga bakal mendapat bimbingan.

“Kelainan lain ditampilkan pada TUBE 6.0 ialah menerapkan aspek kerohanian, muamalat dan simulasi serta tumpuan mengikut nilai tambah dalam rantaian kluster usahawan SME Corp,” katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran TUBE 6.0 yang disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee.

Pada majlis itu, turut diadakan sesi pertukaran dokumen kerjasama bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mengalakkan belia OKU serta Orang Asli menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof (tengah) pada sesi bual bicara sempena majlis perasmian TUBE 6.0 di SME Corp.

Sehingga kini, program TUBE memberi manfaat kepada lebih 4,380 belia Bumiputera daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan taraf hidup termasuk belia luar bandar, isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan OKU.

Ia mencatatkan jualan terkumpul berjumlah RM99.28 juta dan mewujudkan sebanyak 7,852 pekerjaan baharu, termasuk untuk peserta program itu sendiri.

Belia Bumiputera yang berminat menyertai TUBE 6.0 boleh membuat permohonan secara dalam talian di tube.smecorp.gov.my mulai hari ini sehingga 29 April depan.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata, pihaknya menyedari ramai usahawan muda Bumiputera berminat menyertai program TUBE, namun jumlah tempat disediakan terhad.

“Sebab itu kementerian akan berbincang dan mendapatkan sokongan daripada pihak swasta untuk membantu lebih ramai anak muda untuk berniaga,” katanya.

Sumber: Berita Harian