Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof kini dalam lawatan kerja ke Sarajevo, Bosnia-Herzegovina dari 16 hingga 21 April bagi mempromosi produk dan perkhidmatan halal Malaysia.

Program beliau termasuk penyertaan sebagai ahli panel sesi kedua Forum Perniagaan Sarajevo (SBF) 2019 mengenai Cabaran untuk Kawasan Tenggara – Mengubah penghijrahan bakat kepada memanfaatkan bakat serta mengambil peluang untuk menggariskan inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian itu menerusi Rangka Kerja Usahawan Kebangsaan (NEF).

NEF bermatlamat untuk menaik taraf usahawan, mewujudkan pekerjaan untuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan industri bernilai tambah tinggi menerusi program pembangunan vendor, serta mewujudkan ekosistem yang kondusif di Malaysia untuk usahawan meningkatkan persekitaran perniagaan.

SBF 2019 ialah persidangan pelaburan serantau yang bertujuan untuk menarik pelaburan asing bagi memacu pembangunan ekonomi di Bosnia Herzegovina, termasuk kawasan tenggara Eropah.

Mohd Redzuan juga bercakap mengenai inisiatif lain yang dilaksanakan kerajaan, termasuk program menarik pulang pakar dan bakat serta pengekalan bakat (STAR).

Beliau turut melakukan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Sarajevo, Abdullah Skaka, yang mengalu-alukan minat MED untuk bekerjasama bagi meningkatkan pengeluaran produk halal di Bosnia dan pembuatan gelatin halal.

Mohd Redzuan turut menjemput Datuk Bandar itu bekerjasama dalam sektor automotif Malaysia berdasarkan pengalaman Bosnia yang terkenal dalam keupayaan pemasangan dan kejuruteraan pengeluaran peralatan asal. – Bernama