Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Kerajaan berhasrat menambah jumlah usahawan wanita dengan menggunakan empat kaedah berdasarkan kajian terkini Bank Dunia.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata empat kaedah itu ialah memperluaskan ruang dan peluang usahawan wanita mendapatkan dana.

“Selain itu, kerajaan akan membantu mendapatkan pasaran yang lebih luas, mempromosi kejayaan usahawan wanita dan mendukung pembangunan mereka dalam teknologi digital.

“Apa sahaja usaha dan inisiatif yang diperkenalkan, teras paling utama adalah memastikan ruang dan peluang memperoleh dana keusahawanan itu wujud dan boleh didapati dengan mudah,” katanya.

Teks ucapannya dibacakan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Koperasi dan Francais Usahawan Kementerian Pembangunan Usahawan, Ahmad Musadad Sulaiman ketika Majlis Perasmian Program Pembiayaan Khas KOMANI untuk usahawan wanita muda dan pembukaan cawangan Ar-Rahnu KOMANI yang pertama di Selangor.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, kementerian yakin sektor koperasi mempunyai kapasiti, kemampuan, pengetahuan dan pengalaman untuk menjadi sektor ekonomi yang lebih strategik kepada negara.

“Usia gerakan koperasi Malaysia yang hampir mencecah 100 tahun wajar dijadikan sandaran dan teras kekuatan pembangunan koperasi.

“Melalui Rangka Kerja Keusahawan Nasional (NEF) yang sedang kita usahakan, kerajaan menekankan gerakan koperasi sebagai instrumen yang penting bagi meningkatkan keusahawan dan potensi sebagai pemacu ekonomi negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, kerajaan sangat optimis bahawa sumbangan gerakan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mampu mencapai 10 peratus menjelang tahun 2020.

“NEF akan turut memberi penekanan mewujudkan sumber alternatif kewangan kepada ekosistem keusahawanan.

“Dalam pada itu, kita juga memerlukan skim yang dekat, mudah dan mesra dengan rakyat dan usahawan akar umbi,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, berlandaskan fakta aktiviti koperasi yang paling banyak menyumbang kepada jumlah perolehan dan KDNK adalah perbankan dan kredit.

“Berdasarkan statistik 2017, sejumlah 589 koperasi perkhidmatan kewangan menyumbang perolehan sebanyak RM33.45 bilion iaitu 83.12 peratus daripada pendapatan keseluruhan koperasi,” katanya. – BH