Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi (tengah) diiringi Ketua Pengarah IKM, Ariffin Mamat (tiga kiri) bergambar kenangan dengan para peserta pada Majlis Pelancaran Institut Koperasi Malaysia (IKM) di Maktab Koperasi Malaysia, Petaling Jaya.

Kementerian Pembangunan Usahawan mahu aspek pembangunan kapasiti modal insan koperasi di seluruh negara diperkasakan.

Justeru itu, kata Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusoff, pihaknya mengambil inisiatif menjenamakan semula Maktab Koperasi Malaysia (MKM) kepada Institut Koperasi Malaysia (IKM) dengan harapan menjadi pencetus inovasi dan idea dalam memacu koperasi seiring dengan perkembangan terkini.

Beliau berharap, Anggota Lembaga yang disandarkan harapan besar oleh kerajaan untuk membantu menjayakan matlamat itu memegang pucuk pimpinan koperasi dengan modal ilmu yang lebih cemerlang.

“Kita tidak mahu Anggota Lembaga yang sama memegang jawatan bertahun-tahun tanpa ada sebarang pembaharuan kepada koperasi.

“Kita harap mereka dapat mencuri masa untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dari semasa ke semasa kerana ilmu itu dinamik dan sentiasa berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Institut Koperasi Malaysia di Auditotium Abdul Majid, IKM di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Turut hadir, Ketua Pengarah IKM, Ariffin Mamat.

Mohd Redzuan memberi peringatan kepada Anggota Lembaga agar perlu lebih serius dalam memandu koperasi agar lebih cemerlang dan merangka perkembangan koperasi untuk 10 dan 20 tahun akam datang.

“Mereka juga perlu memainkan peranan sebagai anggota dan menyokong aktiviti koperasi dan tidak semata mata berharap pada dividen sahaja.

“Jadilah anggota-patron kepada koperasi, di mana anggota sebagai patron melanggan produk dan perkhidmatan serta prihatin mengenai kepimpinan koperasi,” katanya. – MalaysiaGazette