MYANGKASA Holdings Group of Companies yang juga anak syarikat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang diwakili Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah (lima dari kiri) menjalin kerjasama dengan Ketua Pegawai Ekesekutif Kumpulan Glyken, KC Lim (lima dari kanan) bagi memperluaskan pasaran burung walit ke negara luar dan tempatan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Kuala Lumpur: Semua koperasi dan koperator disaran bersama-sama dengan kerajaan dalam memacu perkembangan ekonomi negara supaya kelestarian pembangunan ekonomi dapat dipertingkatkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan adanya pembangunan yang pesat dalam sektor koperasi, banyak peluang pekerjaan dapat disediakan kepada rakyat.

“Potensi dan peluang untuk terus maju dan berjaya bagi koperasi di Malaysia dilihat mampu menjana pendapatan.

“Saya menyeru kepada semua pemimpin koperasi dan seluruh koperator supaya sentiasa mencari jalan dan menambah usaha berlipat ganda untuk memajukan koperasi masing-masing,” katanya dalam ucapan ketika menghadiri Jamuan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam.

Menurutnya, berdasarkan rekod dikeluarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga 31 Disember tahun lalu, bilangan koperasi yang berdaftar sebanyak 13,428 dengan jumlah keanggotaan 7 juta ahli.

“Bukan saja itu, jumlah syer dicatatkan sebanyak RM13.99 bilion, jumlah aset koperasi ialah RM130.74 bilion dan jumlah perolehan sebanyak RM39.66 bilion,” katanya. – HM