Kuantan: Koperasi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak lima peratus serta tiga peratus lagi dengan klausa tertentu hasil pendapatan RM2.7 juta bagi tahun kewangan 2017..

Pengerusinya, Mohd Fadzil Abdul Ghani berkata, ia meningkat berbanding lima peratus bagi tahun kewangan 2016.

Katanya, semua 2,600 ahlinya akan menerima pembayaran dividen berkenaan sebelum Aidilfitri pada Jun depan.

Beliau berkata, jumlah pendapatan koperasi dilihat mengalami sedikit penurunan berbanding RM2.87 juta pada 2016 berikutan ada ahlinya yang sudah berhenti dan meletakkan jawatan.

“Kami mengumumkan pembayaran dividen dalam mesyuarat agung tahunan hari ini (semalam) kepada ahli yang terdiri daripada kakitangan Media Prima Berhad (MPB), NSTP, bekas kakitangan MPB serta syarikat yang pernah bernaung di bawah NSTP.

“Ia akan diagihkan selewat-lewatnya dua minggu sebelum sambutan Aidilfitri. Pada tahun lalu, kita mengumumkan pembayaran dividen sebanyak lima peratus,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Perwakilan Koperasi NSTP di sini, semalam.

Selain itu, Mohd Fadzil berkata, pihaknya merancang untuk membuka cawangan kedua perniagaan pajak gadai Islam Ar-Rahnu di Bandar Seri Putra di Bangi, Selangor pada Julai depan.

“Kami sudah mempunyai cawangan Ar-Rahnu di Bandar Sunway dan sambutan yang diterima amat menggalakkan, justeru kita merancang membuka cawangan kedua selepas sambutan Aidilfitri nanti,” katanya.- HM