Program Bazar Jualan Harga Patut Kementerian Pembangunan Usahawanan (MED) sempena Aidilfitri akan diadakan selama tiga hari, bermula Jumaat depan, di Auditorium Cempaka Sari, Presint 2, Putrajaya.

MED berkata program tersebut manawarkan harga patut bagi pelbagai barangan keperluan asas termasuk tepung, beras, gula, minyak masak dan ayam dan ia dibuka mulai jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

“Program ini menyasarkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang tinggal di kawasan bandar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd serta agensi di bawah MED iaitu Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, Bank Rakyat, SME Bank dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan turut disertai LuLu Hypermarket.

Pada masa yang sama, MED berkata, Bazar Jualan Harga Patut MED iaitu ‘Karnival Jualan Koperasi Aidilfitri’ turut berlangsung secara serentak di Tamarind Square, Cyberjaya serta di beberapa outlet koperasi mengikut zon di seluruh Malaysia. – Bernama