Suasana pembelajaran dan kehidupan harian pelajar sekolah berasrama penuh negara ini serta keupayaan koperasi sekolah menjana peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dilihat bersesuaian dengan tema Hari Koperasi Sedunia tahun ini.

Oleh itu, pertubuhan koperasi antarabangsa iaitu International Cooperative Alliance (ICA) tertarik mendokumentasikan video mengenai koperasi sekolah di negara ini.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Ang­kasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, menerusi dokumentasi itu koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang dipilih untuk menjayakan video tersebut.

“Selain faktor kecermelangan, koperasi tersebut dipilih kerana kesesuaian yang ingin ditonjolkan menerusi video tersebut.

“Ini termasuk bentuk penceritaan yang menonjolkan elemen pembangunan komuniti setempat melalui koperasi,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Tayangan Perdana Video Promosi Koperasi Sekolah Malaysia ke Peringkat Antarabangsa di sini hari ini.

Kata Abdul Fattah, video berdurasi selama 12 minit itu akan ditayangkan dalam laman sesawang www.ica-ap.coop/icanews/around-world-coops bermula hari ini. – UTUSAN ONLINE