ZULHAZMI menunjukkan pelan rumah Taman Kowaman D’Serai, Bukit Payung.

KUALA TERENGGANU: Awalnya, dia menubuhkan koperasi keluarga bersama 13 adik-beradiknya bagi membantu merapatkan jurang pendapatan antara semua ahli keluarga terdekat mereka yang berjumlah lebih 80 orang.

Siapa sangka, niat murni itu mendapat keberkatan apabila koperasi berkenaan yang kini mempunyai pelbagai cabang perniagaan mampu mengumpul aset hampir mencecah RM10 juta dalam tempoh lima tahun sahaja beroperasi.

“Keluarga kami besar dan mempunyai latar belakang yang pelbagai, ada yang kaya dan berharta serta ada juga yang miskin dan memerlukan bantuan.

“Bertitik-tolak daripada situ, saya mendapat ilham mewujudkan Koperasi Warisan Keluarga Othman Kuala Terengganu Berhad (KOWAMAN) dengan menawarkan pegangan saham pada harga serendah RM100 sesaham bagi mendekatkan jurang pendapatan kami, biar semua sama-sama senang.

“Cadangan saya itu mendapat maklum balas yang sangat baik dalam kalangan keluarga dan lima tahun lalu, bermulalah pengembaraan KOWAMAN dengan modal permulaan sekitar RM100,000.

“Jika diikutkan terdapat 80 orang yang layak menjadi ahli koperasi ini, tetapi buat masa ini jumlahnya seramai 40 orang. Ada yang cuma mengeluarkan RM100 dan paling besar ada yang melabur sehingga RM200,000,” kata Zulhazmi Othman.

Zulhazmi, 45, anak kesembilan pasangan Othman Jusoh dan Hafsah Abd Rahman, 80, dilantik sebagai pengurus koperasi berkenaan.

Katanya, ketika mula ditubuhkan, KOWAMAN menjalankan perniagaan insurans sebelum mengembangkan perniagaan mereka dalam bidang perladangan dan kini menceburi bidang hartanah menerusi pembinaan projek perumahan.

“Selepas dua tahun kami dapat kumpulkan modal kira-kira RM100,000 dan bayar deposit untuk membeli 10.1 hektar ladang sawit di Pasir Pelata, Hulu Terengganu dan selebihnya kami mendapat bantuan daripada SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia).

“Bagi ahli keluarga yang ingin bekerja kita tawarkan kerja di ladang berkenaan dan jika mereka ingin tukarkan gaji dalam bentuk saham juga boleh,” katanya.

Menurutnya, memandangkan mempunyai pengalaman sebagai kontraktor, dia mencadangkan pula kepada KOWAMAN untuk menceburi bidang hartanah.

SEBAHAGIAN ahli KOWAMAN bergotong-royong mengusahakan ladang sawit di Kampung Pelata, Bukit Banding.

“Projek ini apabila siap nanti dinamakan Taman Kowaman D’Serai di Kampung Sungai Serai, Bukit Payong, Marang. Projek perumahan ini membabitkan 18 unit rumah iaitu 11 unit banglo dan rumah berkembar (Semi D) sebanyak lapan unit dibina di atas tanah ahli seluas 1.8 hektar dan dijangka siap pada Oktober 2020.

“Nilai Pembangunan Kasar (GDV) ialah sebanyak RM6.8 juta dan hampir RM4 juta menggunakan duit kutipan ahli manakala selebihnya adalah pinjaman daripada SKM melalui Tabung Pusingan Modal (TPM).

“Kita cuba jual harga dibawah nilai pasaran iaitu bawah RM400,000 untuk banglo dan bawah RM300,000 untuk rumah berkembar.

“KOWAMAN juga bercadang menceburi bidang perniagaan farmasi dan agro-pelancongan selain mengembangkan perniagaan sedia ada,” katanya.

Zulhazmi berkata, selain ahli keluarga yang susah, koperasi itu juga menyasarkan bantuan untuk masyarakat terdiri daripada golongan susah yang tinggal berdekatan dengan mereka.

“Tapi keutamaan ialah untuk membantu ahli keluarga kami dahulu. KOWAMAN juga giat membiayai pengajian anak ahli yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan memberi wang tunai RM1,000 kepada yang masuk universiti,” katanya. – HM