Presiden Angkasa, Dato’ Abdul Fattah (duduk tengah), Pengerusi Kopsihat, Datuk Dr. R. Kannan (duduk, tiga kanan) bersama Ahli Lembaga Koperasi (ALK) Kopsihat pada mesyuarat agung tahunan ke-5 yang diadakan di Corncode Hotel, Shah Alam baru-baru ini.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memohon agar kerajaan meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dengan memasukkan Akta Koperasi 1993 agar anggotanya boleh terlibat dengan lebih aktif dalam bidang kesihatan.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pada masa ini mana-mana koperasi yang ingin membuka klinik, pusat perubatan atau farmasi perlu terlebih dahulu menubuhkan anak syarikat.

“Berdasarkan Seksyen 6 (1) akta ini lesen hanya boleh dikeluarkan kepada pengamal perubatan dan suatu pertubuhan yang lembaga pengarahnya terdiri daripada sekurang-kurangnya seorang pengamal perubatan berdaftar.

“Suatu pertubuhan ini adalah pertubuhan yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan harapan Angkasa adalah kerajaan memasukkan Akta Koperasi di sini agar koperasi tempatan boleh bersama-sama bergerak aktif dalam bidang perkhidmatan kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelima Koperasi Panel Kesihatan Selangor Berhad (Kopsihat) di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah, Pengerusi Kopsihat, Datuk Dr. R. Kannan.

Abdul Fattah berkata, penglibatan koperasi dalam bidang perkhidmatan kesihatan dilihat perlu berikutan masalah kesihatan yang dihadapi oleh masyarakat semakin kronik dan koperasi dilihat mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mampu milik dan menjadi pengimbang antara sektor kesihatan awam dan swasta.

“Selain itu, koperasi juga boleh turut serta dalam memajukan sektor pelancongan kesihatan yang dijangka mampu mencatat hasil sebanyak RM2.8 bilion pada 2020.

“Memandangkan Angkasa merupakan salah satu anggota Koperasi Se-Asean (ACO) yang mempunyai kira-kira 64 juta anggota, kita yakin akan dapat menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia untuk menjalani rawatan,” katanya.

Beliau berkata, Angkasa amat berharap perkara berkenaan mendapat perhatian sepenuhnya dari kementerian berkaitan dan bersedia untuk menyerahkan memorandum berhubung perkara itu pada bila-bila masa.