Datuk Abdul Fattah Abdullah

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) menyarankan agar Kementerian Pendidikan mewujudkan satu jawatan khas guru koperasi dalam membangunkan gerakan koperasi sekolah ke tahap yang lebih tinggi.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pemberian imbuhan kepada guru koperasi juga boleh dipertimbangkan kerana mereka akan dipertanggungjawabkan untuk memacu perniagaan koperasi sekolahnya secara khusus.

“Saya rasa tidak ada masalah untuk kita adakan satu jawatan khas guru koperasi seperti guru sukan. Dengan adanya jawatan ini koperasi akan lebih teratur dan memandangkan mereka kerja lain daripada tugas guru, imbuhan boleh diberikan.

“Selain itu, Angkasa juga menggalakkan koperasi-koperasi sekolah mewujudkan sekretariat koperasi seperti yang dilakukan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMAKL) dalam memastikan kerja-kerja berkaitan koperasi lebih tersusun dan dapat dijalankan dengan licin,” katanya.

Belia berkata demikian selepas merasmikan Penutup dan Penyampaian Sijil Bengkel Bimbingan Pembangunan Koperasi Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini. – Utusan Online