Pengerusi Koperasi Barisan Usahawan Berhad (KopBaris), Fabian Gan@Mohd Suffian Ghani.

Seramai kira-kira 30,000 orang dijangka hadir ke Program Ekspo Perniagaan Islam selama lima hari bermula 11 April ini yang dianjurkan oleh Koperasi Barisan Usahawan Berhad (Kopbaris) di Perkarangan Stadium Muhammad Ke-IV.

Pengerusinya Fabian Gan@Mohd Sufian Ghani berkata ekspo ini akan diteruskan sebagai acara tahunan di Kelantan sekiranya penganjuran yang julung kalinya diadakan tahun ini mendapat sambutan yang baik.

“Program ini merupakan program pertama kali diadakan di negeri ini yang turut mendapat kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Cakna Palestin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengumpul 30 sehingga 40 usahawan persendirian dari dalam dan luar Kelantan termasuklah agensi lain seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menyertai ekspo itu bagi memberi pendedahan kepada para usahawan.

Terdahulu Mohd Sufian menyerahkan sumbangan cek kepada Timbalan Presiden Cakna Palestin, Ausaini Ibrahim untuk disalurkan kepada aktiviti kebajikan NGO berkenaan.

Katanya pihak koperasi juga akan melancarkan Tabung Cakna Palestin yang bertujuan untuk mengutip dana disalurkan kepada masyarakat di Gaza pada bulan Ramadan nanti. – Bernama