Sebanyak 14 koperasi di Sabah menerima sijil pengiktirafan sebagai Koperasi Kluster Besar berikutan kejayaan mencatat keuntungan melebihi RM5 juta pada tahun lalu.

Koperasi terbabit ialah Koperasi Usahawan Tawau Berhad, Koperasi Borneo Malaysia Berhad, Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS), Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad, Koperasi Tanjung Keramat Kota Kinabalu Berhad dan Koperasi Serbaguna Sanya Berhad.

Selebihnya ialah Koperasi Wawasan Pengangkutan Tawau Berhad, Koperasi Rumpun Melayu Tawau Berhad, Koperasi Green Sabah Berhad, Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad, Koperasi Nasip Kita Tawau Sabah Berhad, Koperasi Kakitangan Taman-Taman Sabah Berhad, Koperasi Perkhidmatan Awam Sabah Berhad dan Koperasi Kadamaian Kota Belud Berhad.

Pendapatan 14 koperasi terbabit bermula dari RM5 juta hingga lebih RM40 juta dengan jumlah terkumpul

lebih RM200 juta menjadikannya sebagai penyumbang terbesar hasil koperasi di Sabah pada tahun lalu mewakili 60 peratus daripada pendapatan 1,550 koperasi berdaftar di negeri ini.

Sijil kepada pengerusi dan wakil koperasi terbabit diserahkan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh pada Program Bicara Ikon: Sesi Perkongsian Koperasi dan Sembang Interaktif Pengerusi Eksekutif SKM Bersama Gerakan Koperasi Sabah 2019, di sini, malam kelmarin.

Pada majlis itu, Nordin turut menyerahkan replika cek bernilai RM1.4 juta untuk Tabung Modal Pusingan

(TMP) kepada Koperasi Pekerja dan Usahawan Sabah Berhad yang diterima Pengerusinya, Pelatoman Suriah.

Terdahulu, Nordin dalam ucapannya berkata, masih banyak yang perlu dilakukan untuk membangunkan gerakan koperasi di negara ini yang kini mempunyai 14,245 koperasi dengan jumlah ahli kira-kira 6.5 juta orang. Katanya, sasaran kini adalah untuk meningkatkan sumbangan koperasi kepada pendapatan negara daripada hanya kira-kira satu peratus ketika ini termasuk mewujudkan gerakan koperasi berasaskan era digital selari dengan keperluan semasa.

“Kita mahu lihat perubahan dalam gerakan koperasi di negara ini untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa koperasi bukan lagi bersifat kampungan atau ketinggalan zaman seperti tanggapan ramai ketika ini,” katanya.

Yang turut hadir ialah Pengarah SKM Sabah, Umar Sarim Saidin dan Ahli Lembaga Pengarah SKM, Datuk Jasa Raudah.

Mengenai SKM, Nordin berkata, sebanyak RM2.173 bilion jumlah dana terkumpul untuk Tabung Modal Pusingan (TMP) koperasi disalurkan agensi itu kepada koperasi di seluruh negara sejak ia diwujudkan pada 1985.

Pada tahun lalu katanya, sebanyak RM79 juta pinjaman TMP disalurkan kepada 49 koperasi yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan di seluruh negara dengan RM4.04 juta disalurkan kepada koperasi di Sabah.